INSYA ALLAH! REZEKI KITA DIMARHABAN2U.COM


marhaban2u.com

JANA PENDAPATAN & DOWNLOAD NASYID DI MARHABAN2U.COM


marhaban2u.com

Wednesday, December 16, 2009

IMAN: BERTAMBAH DAN BERKURANG

Tidak syak lagi bahawa iman adalah anugerah dan harta kurniaan Allah yang termahal kepada seseorang insan. Namun harus diingat, Iman yang ada di dalam hati seseorang itu juga dalam situasi boleh bertambah dan boleh berkurang.

Yang mengerti dan memahami akan nilai dan harganya akan menjaganya sepenuh hati dan sentiasa berusaha meningkatkannya. Manakala orang yang tidak faham dan tidak sedar dengan nilai hebat yang ada pada iman, tidak pernah risau, tidak ambil pusing bahkan tidak pernah menangisi imannya yang semakin hari semakin merudum.


Jumhur para ulama Islam semuanya sepakat dan sependapat bahawa begitulah keadaan iman. Boleh bertambah dan boleh berkurang. Kenapa bertambah? Kerana amalan taat atau amal soleh yang dilakukan secara berterusan. Kenapa pula berkurang? Kerana perbuatan maksiat dan dosa yang dikerjakan. Amal soleh menjana iman sebaliknya maksiat dan dosa melenyapkan iman bahkan bilamana sesetengah dosa besar itu dilakukan, maka saki baki iman yang ada akan hilang begitu sahaja. Saki baki iman yang sedikit berbaki akan tercabut dari hati sebagaimana seseorang mencabut baju dari tubuhnya.

Pendapat para ulama yang mulia itu disandarkan kepada hujjah aqli dan naqli.

1. Hujjah ‘aqli
Kata mereka kalaulah iman itu bersifat statik, jamid yakni tidak menerima penambahan dan pengurangan maka iman sekelian manusia termasuklah iman para penjahat dan penjenayah sama sahaja grafnya dengan iman para Nabi dan malaikat. Ya, keadaan ini jelas dan terang sekali tidak dapat diterima akal.

2. Hujjah Naqli (Al quran dan sunnah)
Para ulama berdalilkan ayat kedua surah Al Anfal yang bermaksud: “..dan apabila dibacakan ayat-ayatNya kepada mereka (orang-orang yang beriman), nescaya menambahkan keimanan (mereka)..”

Baik orang yang membaca atau menghayati orang lain membaca alquran , maka kedua-dua amal tersebut adalah di dalam lingkungan amal soleh yang mampu menjana iman. Kiaskanlah kepada amalan soleh yang lain. Dengan itu iman seseorang hamba akan semakin cemerlang dan gilang gemilang.
Sementara itu, dalil sunnah yang menjadi rujukan para ulama berkenaan tajuk ini adalah sepotong hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Umar. Beliau pernah bertanya Rasulullah mengenai iman. “Adakah iman itu boleh bertambah dan boleh berkurang?” Jawab Baginda saw: “ Ya, iman seseorang itu boleh bertambah hingga (akhirnya) ia masuk ke dalam syurga dan (iman juga boleh) berkurang sehingga seseorang itu (akhirnya) masuk ke dalam neraka.”

Jesteru, sedikit masa yang masih berbaki dalam hidup kita ini hendaklah dimanfaatkan untuk menambahkan iman bukannya semakin maut menghampiri kita semakin dada kita kering kontang dari iman dan taqwa. Jadikanlah hari ini hari menjana iman kerana belum tentu ada esok untuk kita.

Allahu wa Rasuluhu A’alam.
Rujukan: Hadis 40 Imam An Nawawi rahimahullah.
Terjemahan, syarahan dan susunan : Al Fadhil Ustaz Mustaffa Abdur Rahman.

0 comments:

 
© Copyright by SAHABAT AMAL  |  Template by Blogspot tutorial