1. Zaman Rasulullah saw dan para sahabat itulah yang digelar sebagai ‘Asr Az Zahab’ yakni zaman keemasan manusia. Pun begitu, apakah zaman keemasan itu dirujuk kepada deretan bangunan tinggi pencakar langit atau kepesatan kecanggihan teknologinya? Tidak sama sekali.
2. Zaman keemasan sepertimana yang disepakati para ahli sejarah itu merujuk kepada ketelusan tauhid, kebersihan hati, keluhuran budi, ketinggian rauhaniyyah serta ukhuwah anggota masyarakatnya hasil perjuangan, tarbiah dan dakwah Nabi Muhammad saw yang didokong oleh sekelian sahabat-sahabat yang mulia lagi diredhai Allah Ta’ala.
3. Merekalah ‘Khairu Ummah’ yakni sebaik-baik ummah spertimana yang dijelaskan al quran. Itulah zaman Solafus Soleh yang melebar sekitar 300 tahun (3 kurun) seperti yang diceritakan Nabi saw.
4. Zaman inilah yang sepatutnya menjadi ‘penanda aras’ kita dalam membina dan membangunkan kecemerlangan masyarakat dan ketamadunan ummah kita pada hari ini kerana ia satu fakta yang tidak boleh dinafikan sama sekali.
5. Faktor ‘keemasan’ itu pula bukan hanya dibuktikan oleh ahli sejarah sepanjang zaman bahkan telah beroleh jaminan dan diperakui oleh Al Quran dan As sunnah.
6. Sejarah emas inilah yang patut kita tela’ah, di ulangbaca, dihayati serta diamalkan sedaya mampu kita. Membaca sirah mereka yang ‘harum mewangi’ itu akan menjadikan rasa rindu kita kepada mereka kian hangat, jiwa akan rasa terpanggil untuk meneladani akhlak, pengorbanan dan perjuangan mereka menyebar dan mempertahankan agama tercinta. Membaca kisah-kisah mereka akan menjadikan kita cintakan Allah dan Rasul, cintakan akhirat, cintakan kasih sayang, keamanan dan kebenaran.
7. Ayuh mulakan pembacaan kita. Bacalah berkali-kali kerana di sana kita akan ketemui telaga ilmu dan sejarah kemanusiaan yang yang tidak ada tolok bandingnya. Membacalah gaya Ibnu Mubarak membaca.
8. Pernah di satu ketika orang-orang bertanya kepada Abdullah ibnu Mubarak Rahimahullah, "Kami melihat kamu tidak duduk bersama kami selepas solat?" Abdullah b Mubarak menjawab, "Aku pergi duduk bersama-sama para sahabat radhiallahu'anhum dan para tabi'in rahimahullah" Lalu orang-orang yang bertanya tadi kehairanan, "Mana mungkin engkau duduk bersama mereka, sedangkan mereka sudah lama meninggal dunia?" Lalu dijawab oleh Abdullah b Mubarak, "Aku pergi duduk membaca dan menelaah 'ilmu yang telah aku perolehi dan telah aku kumpulkan daripada mereka, di sana aku temui ucapan dan keperibadian mereka. Dan apa yang aku perolehi daripada duduk bersama kalian? Kalian sibuk memperkatakan keburukan manusia lain."
[Rujukan: Biografi Abdullah b Mubarak- Al-Zahabi, Siyar A’lam Al-Nubala`]
Bolehkah Puasa Sunat Selepas 15 Sya’ban?
12 years ago
0 comments:
Post a Comment