INSYA ALLAH! REZEKI KITA DIMARHABAN2U.COM


marhaban2u.com

JANA PENDAPATAN & DOWNLOAD NASYID DI MARHABAN2U.COM


marhaban2u.com

Thursday, September 16, 2010

SOLAT ITU TANDA KEHAMBAAN


Orang jahil dan sombong selalunya menyangka bahawa diri mereka amat kuat, pandai dan mampu menongkah arus dugaan dan gelombang kehidupan yang datang melanda. Rasa 'kuat' itu membuatkan kedua belah telapak tangan mereka tidak pernah mahu diangkat ke langit. Rasa hebat dan pandai itu menjadikan dada mereka sentiasa membusung dan pandangan mereka jarang lama melihat ke bumi tempat kaki di pijak dan kondidi di mana bakal bersemadi tubuh kaku mereka. "Kami tak memerlukan pertolongan sesiapa pun! Dengan segala kekuatan, kepandaian dan kekayaan yang ada, kami yakin akan berjaya rempuh segala rintangan" ujar mereka bernada ego.

Itulah tabiat dan sikap hidup orang yang tidak ada 'rasa bertuhan' di jiwanya. Orang yang tidak pernah berpegang, tidak mahu beriman dan tidak berkeyakinan bahawa Allah SWT itulah, sebaik-baik Penolong. Orang yang tidak sedar bahawa tidak berlalu satu saat melainkan dia tidak boleh terus hidup tanpa pertolongan, rahmat dan bantuanNya. Mereka itu termasuklah sebahagian insan yang mendakwa muslim namun rutin hidup bertuhan dan berqiblatkan berhala, nafsu, akal, harta, kekuatan, pengaruh dan material (mata benda).

MANUSIA ITU LEMAH

Namun, bila sesekali ujian berat datang menimpa, hidup mereka yang kononya 'rasa kuat dan pandai' tadi selalunya berakhir dengan situasi patah hati, hilang pedoman, putus asa, hilang semangat dan jadi tidak tentu arah. Tidak kurang juga yang bertindak menamatkan tekanan, kebuntuan dan keresahan mereka dengan membunuh diri.

Kenapa? Hakikatnya segala faktor yang menjadi pegangan dan qiblat mereka itu adalah 'sandaran hidup' yang batil, lemah, salah, sesat dan palsu. Sangka mereka diri serta segala sandaran mereka itu sudah cukup kuat dan hebat. La ilaha illaLLah!! Sungguh, mereka terlindung dan terijab daripada melihat kekuatan, kekuasaan dan kehebatan Allah Al Khaliq! Bagaimana seseorang boleh menjadi terlalu dangkal sehingga terdorong menyandarkan seluruh kehidupannya kepada sesuatu yang lemah yang sifatnya sama lemah macam dirinya? Alangkah syirik dan bodohnya!

Hamba yang beriman sentiasa bersandar kepada kekuasaan dan keagungan Allah SWT. Pegangan, keyakinan dan sandarannya hanyalah Allah SWT. Sekiranya ia berhajatkan sesuatu, maka dia memohon dan meminta kepada Allah SWT. Dia memohon kepada Allah kerana amat yakin bahawa Allah amat dekat dengan dirinya dan Maha Memperkenankan segala permohonan dan permintaannya.

Selain berdoa, hamba yang mukmin akan memohon pertolongan Allah SWT dengan cara menekuni dan memelihara soaltnya. Bukankah solat juga bermakna doa menurut pengistilahan Lughawinya?

Andai kita ditanya, solat kita itu untuk tujuan dan maksud apa? maka katakanlah bahawa SOLAT yang diperintahkan Allah ke atas kita lima waktu sehari semalam itu juga adalah sebaik-baik 'Penolong' di dalam menjalani, mengharungi dan menelusuri kehidupan kita di dunia nan fana ini.

Firman Allah SWT: "Jadikanlah sabar dan solat sebagai penolongmu, dan sesungguhnya yang demikian itu sungguh berat kecuali bagi orang-orang yang khusyuk." (Al Baqarah: 2/45).

Allah berfirman lagi: "Hai orang-orang yang beriman, jadikanlah sabar dan solat sebagai penolongmu, sesungguhnya Allah berserta dengan orang yang sabar." (Al baqarah: 2/153).

Ada juga mufassirin yang menghuraikan: "Mintalah pertolongan kepada Allah dengan sabar dan solat."

Orang beriman sedar dirinya lemah dan amat memerlukan pertolongan Allah. Setiap saat dan ketika, dia tidak mahu Allah berlepas diri darinya. Bila dan di manapun jua, dia sentiasa bergantung harap kepada Rahmat, pertolongan, hidayah, taufiq dan 'InayahNya. Dia amat tahu dan sedar bahawa tanpa rahmat dan pertolongan Allah maka akan hanyut, binasa dan musnahlah hidupnya.

Jesteru, orang yang tidak mendirikan solat hakikatnya adalah orang yang bodoh sombong lagi dimurkai Allah SWT kerana dia tidak mahu meminta dan memohon pertolonganNya. Apakah dia tidak terfikir bahawa untuk mengangkat pelupuk matanya sekalipun dia tidak akan berdaya tanpa izinNya? Sungguh, dia tidak pernah sedar hakikat dirinya yang serba lemah, jahil, kerdil, hina di hadapan duli KebesaranNya. Maka, selama-lamanya dia tenggelam di dalam lautan murkaNya.

0 comments:

 
© Copyright by SAHABAT AMAL  |  Template by Blogspot tutorial