WASHINGTON
1. Secara fitrahnya, seorang penulis itu, tak kira dari agama, bangsa dan keturunan apa sekali pun pastinya amat berbesar hati dan berbangga andaikata dapat mencatat atau mengulas sesuatu mengenai riwayat hidup Nabi Muhammad SAW. Apa tidaknya? Dialah sebaik-baik makhluk ciptaan Allah. Dialah Habibullah. Dialah penghulu Bani Adam. Namanyalah yang sentiasa bergandingan disamping nama Allah bahkan peribadi agungnya itulah yang disegani kawan dan lawan sepanjang zaman. Jesteru, sejarah dunia telah memaparkan betapa puluhan ribu bahan (khazanah) berupa buku, manuskrip, puisi, skrip, filem, sajak, makalah dan catatan berkenaan riwayat hidup dan perjuangan Nabi SAW telah pun dihasilkan di dalam pelbagai olahan bahasa, gaya, aspek dan dimensi.
2. Terbaru, Deepak Chopra, pakar motivasi dan pengarang bertaraf antarabangsa, telah menghasilkan novel terbaru mengenai Nabi Muhammad SAW yang disampaikan dengan gaya penulisan kreatif. Khabarnya, novel Muhammad A Story of the Last Prophet: (2010) lahir selepas novel :Buddha: A Story of Enlightenment: (2007) dan Jesus A Story of Enlightenment: (2008) yang mendapat sambutan masyarakat antarabangsa daripada pelbagai kaum dan agama berikutan kemampuan Chopra mengangkat kisah kehidupan, perjuangan, pengajaran dan nilai-nilai positif secara positif melalui gaya penulisan kreatif.
3. Deepak telah menggunakan sudut pencerita orang pertama yang berlainan bagi setiap bab; misalnya puteri-puteri baginda, seorang katib Yahudi yang bekerja dengan baginda di Madinah, seorang abdi warga Afrika bernama Barakah dan Abu Sufyan iaitu pemimpin Quraisy di Mekah yang pada awalnya menentang baginda. Kisah dalam novel ini digarapkan bukan sahaja untuk membantu pembaca mengenali sifat-sifat mulia Nabi Muhammad SAW, malah membantu memahami keadaan sosial, politik dan ekonomi pada zaman baginda.
4. Novel ini juga boleh didapati dalam versi cakera padat (CD) audio yang terdiri daripada tujuh CD dan dibacakan sendiri oleh pengarang. Chopra yang lahir pada 22 Oktober 1946 pernah bertugas sebagai Ketua Jabatan Perubatan dan Kardiologi di Hospital Mool Chand Khairati Ram, New Delhi, India selama lebih 25 tahun.
5. Itu cerita Deepak Chopra yang Non Muslim tetapi tergerak hati menulis mengenai Nabi SAW. Hebat sekali. Apakah kita berfikir bahawa Deepak akan menulis sesuka hatinya? Tidak sama sekali. Pada kiraan saya, sebelum menulis buku mengenai Nabi Muhammad SAW tersebut, Deepak telah membuat kajian, rujukan dan membaca banyak buku dan bahan mengenai baginda SAW. Kemungkinan bahan bacaan dan kajian Deepak mengenai Rasulullah itu lebih banyak daripada apa yang dibaca oleh sebahagian umat Islam. Harapan kita semoga dia jatuh cinta dengan budi pekerti, dakwah dan akhlak baginda SAW itu lantas beroleh hidayah Allah Ta'ala.
6. Persoalannya, bagaimana pula dengan kita, umat Islam khas para penulis, pengarang, pemuisi, blogger, penulis skrip dan pengkarya mUslim kita? Apakah kita telah bersungguh-sungguh mempelajari, menghayati dan mengkaji sirah Rasulullah SAW? Belumkah tergerak hati kita menulis dan mengarang tentang riwayat hidup, pengorbanan dan perjuangan Nabi kita? Ya, sebelum kematian kita. Sebelum setiap tulisan, rencana, karya, skrip, drama, teater, filem, buku dan catatan kita dipertanggungjawabkan di hadapan Allah SWT?
7. Barangkali kita telah pun menulis riwayat dan catatan hidup ramai orang dari kalangan tokoh, cendiakawan, politikus, artis dan selebriti baik dari dalam maupun luar negara. Demikian juga kata-kata dan pidato mereka. Tidak salah andai kita menulis sesuatu yang baik, positif dan berguna tentang mereka. Namun, ampun maaf! masih ada orang yang berasa megah dan bangga kalau dapat mencatat dan melaporkan sesuatu berita yang penuh dengan fitnah, pembohongan dan kesamaran, rencana yang memecah belahkan antara saf kaum muslimin, kisah dan gossip yang amat negatif lagi meloyakan mengenai kehidupan seksual, gaya hidup bebas lepas tanpa batasan dan berita dalam kelambu artis dan selebriti barat.
8. Ohh, Tidak terbetikkah kita untuk memuhasabah tulisan dan karya kita? Tidak terfikirkah kita berapa ramaikah manusia yang telah rosak dan sesat disebabkan tulisan, skrip, karya dan laporan kita? Tidak pernah terbitkah rasa rindu di hati untuk menulis tentang kemuliaan akhlak dan kegigihan perjuangan Nabi kita yang tercinta? Tentang keindahan Islam yang gigih disampai dan disebarluaskan oleh baginda SAW? Tentang segala pesanan dan wasiat yang ditinggalkan oleh baginda SAW? Ya, Agar timbunan dosa-dosa dari tulisan, karya, skrip, post, puisi, lirik kita yang hanyir sebelumnya mendapat keampunan Allah SWT. Agar sisi-sisi 'kelam' dan 'busuk' di dalam karya-karya kita dipadamkan Allah dari catatan amal kita sebelum catatan raqib dan Atid dibentangkan kepada kita.
9. Tidak dinafikan, bahawa telah pun ada di kalangan penulis, pengkarya bahkan sasterawan kita, mereka yang telah berjaya menghasilkan karya berkenaan riwayat hidup baginda SAW contohnya Al Amin, bingkisan hebat berkenaan riwayat hidup nabi SAW karya Sasterwan Negara, Datuk A. Samad Said. Alhamdulillah. Demikian juga dengan karya-karya penulis hebat kita yang lain yang moga-moga menjadi satu sumbangan paling berguna dan saham besar untuk tatapan ummah imma pada hari ini dan lebih-lebih lagi masa akan datang. Semoga Allah membalas baik sumbangan dan jasa baik anda untuk Islam yang tercinta.
10.Contohilah para ulama, penulis, pengkarya, pemuisi dan pengarang Muslim yang terdahulu secontoh Ibnu Hisyam, Ibnu Kathir, Ibnu Jarir, Imam As Syafii, Imam malik, Imam Ahmad, Imam An Nawawi, Imam At Tirmizi, imam Ibnul Qayyim dan banyak lagi yang dengan penuh iman, jujur, tanggungjawab dan rasa kasih sayang pada Allah, pada rasul, pada agama telah menggerakkan seluruh jiwa raga mereka untuk meninggalkan karya, coretan, khazanah dan bingkisan yang amat berharga dan tidak ada tolok bandingnya. Karya-karya yang menjadikan pahala mereka tidak putus-putus tercatat di lembaran amal mereka walaupun setelah ratusan tahun kematian mereka. Pahala yang mencurah-curah yang membuatkan para malaikat pencatat amal turut kagum dan teruja.
11. Allahumma Solli 'ala Muhammad!
Bolehkah Puasa Sunat Selepas 15 Sya’ban?
12 years ago
0 comments:
Post a Comment