Sebuah keluarga yang tinggal jauh nun di pendalaman tentu akan sedih dan pilu apabila tetamunya akan berangkat pulang setelah seminggu berkampung bersama mereka. Apa tidaknya? Dalam setahun, inilah detik yang sungguh mengembirakan. Tetamu datang membawa kegembiraan, kebahgiaan dan keceriaan. Kini, kemeriahan itu akan berlalu. Rumah yang ceria bercahaya diwarnai tawa ria, riuh rendah dan pelbagai cerita kembali sepi semula.
Entah bila pula agaknya dapat berjumpa lagi. Baik perasaan tuan rumah maupun hati tetamu yang diraikan pastinya akan berasa sedih yang amat. Perasaan sedih itu sungguh mendalam sekali bilamana tetamu yang diraikan itu dari kalangan ahli keluarga terdekat atau sahabat karib. Keberangkatan pulang tetamu diringi dengan sendu tangis dan deraian airmata. Lambaian perpisahan tidak terhenti melainkan setelah para tetamu benar-benar hilang dari pandangan.
RATAP PILU SI MATI
Oh., bagaimanakah perasaan si mati bilamana sanak saudara dan sahabat handainya mengibas punggung berangkat pulang meninggalkan persemadiannya? Apakah agaknya kata-kata rayuan si mati kepada kaum keluarga dan sahabat tercinta yang akan meninggalkannya sendirian di perkampungan Barzakh nan sunyi sepi? Bilakah mereka akan hadir lagi?
Pastinya rasa pilu, duka dan sedih yang maha dahsyat. Andainya keluarga yang yang ditinggalkan si mati merasa sedih dan berduka untuk satu tempoh tertentu, maka ketahuilah sedih dan pilunya si mati itu berlangsung untuk tempoh yang panjang dalam sekala yang berganda-ganda. Kecuali hamba-hamba yang beriman dan beramal soleh selama di dunia. Allah bakal menghiburkan kesedihan dan kepiluan mereka dengan hembusan dan nikmat syurgawi yang disegerakan! Raudhatun Min Riyadhil Jannah!
SAAT DERAP SANDAL (KASUT) AHLI DUNIA BERANGSUR HILANG
Sungguh…, si mati benar-benar pilu dan sayu saat mendengar derapan sandal (kasut) ahli keluarga dan sahabat handainya berangkat pulang ke rumah meninggalkannya sendirian di lahad yang penuh kesepian. Inilah saat perpisahan yang pasti. Pasti ditempuhi oleh setiap manusia. Bagaimana pun hebatnya kesedihan yang melanda, mereka tetap akan berpisah jua. Mereka kini dipisahkan oleh dua alam yang berbeza yang tidak memungkinkan lagi bual bicara, usik mengusik dan tawa ria. Yang ada hanyalah kiriman doa dan pahala dari orang yang tersayang.
Yang mati, berkampung di Barzakh yang merupakan awal perjalanannya menuju akhirat yang abadi manakala yang masih hidup menantikan pula giliran kematiannya di dunia nan sementara. Dunia yang ditetapkan Allah sebagai tempat beramal dan bercucuk tanam untuk akhirat.
Secara umumnya, orang mati atau ahlul qubur dapat mendengar suara dan ucapan orang yang masih hidup di alam dunia dan ia dapat merasi kehadiran mereka. Subhanallah! Nabi SAW bersabda: “Ia (simati) dapat mendengar suara langkah (derapan) sandal (kasut/ selipar) mereka (orang yang mengiringinya) jika mereka (beransur) pergi meninggalkan kuburnya.” (Riwayat Al Bukhari dan Muslim).
JANJI TUHANKU ITU BENAR
Menurut cantuman riwayat yang sahih, (setelah tamatnya peperangan Badar Kubra), Nabi SAW membiarkan mayat kaum musyrikin yang terbunuh di perang Badar selama tiga hari. Setelah tiga hari baginda SAW datang menghampiri jasad-jasad (yang hina lagi kaku itu) dan bersabda:
“Wahai Abu Jahal bin Hisyam, wahai Umayyah bin Khalaf, wahai ‘Utbah bin Rabi’ah, wahai Syaibah bin Rabi’ah, apakah kalian telah mendapati (menemui) bahawa janji Allah itu benar? Aku telah pun mendapati bahawa janji Rabbku kepadaku itu benar.”
Demikianlah kata-kata Rasulullah saw kepada tubuh-tubuh kaku dari kalangan pembesar dan tentera Musyrikin Makkah itu yang semasa hidup di dunia dulu mereka berlagak sombong, angkuh, kejam dan sentiasa mendustakan janji-janji Allah.
Umar R.A. yang mendengarkan ucapan Rasulullah saw itu lalu bertanya: “Bagaimana mungkin mereka dapat mendengar dan menjawab, sedangkan mereka telahpun menjadi mayat?”
Tentunya pertanyaan Saidina Umar R.A. kepada Rasulullah SAW itu kerana inginkan penjelasan dan kepastian dari baginda. Pertanyaan yang penuh bijaksana yang menghasilkan ilmu serta kefahaman yang jelas buat kita semua.
Sabda Nabi saw: “Demi Zat yang jiwaku berada di tanganNya. Mereka (mayat pembesar-pembesar serta kaum Musyrik Makkah) itu mendengar lebih daripada kamu, tetapi mereka tidak mampu menjawab.” Lalu baginda SAW memerintahkan para sahabat untuk menguburkan mayat-mayat itu di dasar sumur Badar.(Riwayat Bukhari dan Muslim).
Demikian pula tercantum sebuah riwayat dari sahabat yang mulia, Abdullah Ibn Umar RDHMA, (bahawa) Nabi berdiri di samping sumur (perigi) Badar dan bersabda: “Apakah kalian mendapati bahawa janji Allah itu benar?”. (Kemudian) Baginda bersabda lagi: “Sekarang mereka mendengar ucapanku).” (Riwayat Bukhari dan Muslim).
Ya, mereka mendengar ucapan, kata-kata maupun derapan tapak kasut penghuni dunia namun mereka tidak berupaya dan tidak mampu untuk menjawab kerana tidak dizinkan Allah SWT. Andainya Allah SWT mengizinkan mereka berkata-kata dengan ahli dunia, maka pasti kita semua dapat mendengar dan mengetahui betapa hiba, pilu serta sedihnya kata-kata, esak tangis dan ratapan mereka manakala kita yang hidup pula akan menjerit ketakutan, tumbang pengsan tidak sedarkan diri.
Mereka tentunya meminta, merayu dan menjerit agar sekelian ahli keluarga dan sahabat handai tidak segera beredar meninggalkan mereka. Apa tidaknya? Sayunya hati si mati saat mendengar derapan tapak kaki insan-insan tersayang sayup meninggalkannya keseorangan. Mereka baru sahaja menempuh satu alam, sebuah realiti dan suasana yang yang sangat asing buat mereka. Bagaimana andai kita pula yang berada di tempat ‘si mati’ itu yang merayu pertolongan dan belas kasihan dari sekelian manusia yang masih hidup di dunia?
Bolehkah Puasa Sunat Selepas 15 Sya’ban?
12 years ago
0 comments:
Post a Comment