INSYA ALLAH! REZEKI KITA DIMARHABAN2U.COM


marhaban2u.com

JANA PENDAPATAN & DOWNLOAD NASYID DI MARHABAN2U.COM


marhaban2u.com

Friday, January 23, 2009

AL AJWAFAN

“Dan pada dirimu itu, mengapakah kamu tidak perhatikan (tanda-tanda dan bukti kebesaran Dia?)” [Adz-Dzaariyaat 51: 21]

Tubuh badan atau jasad adalah di antara nikmat terbesar Allah ke atas hamba-hambaNya. Bila sebut nikmat maka ia wajib disyukuri dan hak yang wajib dijaga. Bila sebut nikmat bermakna ia pasti akan ditanya bagaimana kita mengurus tadbirnya. Allah berfirman mengingatkan kita menerusi ayat 36 surah al-Israa yang bermaksud: "Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; Sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya."


Di dalam anugerah tubuh badan yang menjadi sangkar kepada RUH itu juga ada beberapa juzuk badan yang dikenali sebagai pancaindera yang diciptakan khas berkemampuan menyerap apa jua perkara ke dalam jiwa seperti mata, mulut, telinga dan sebaginya. Para mukminin hanya akan menjadikan pancaindera mereka sebagai penyerap seluruh peringatan-peringantan Rabbaniah ke dalam jiwa kearah memntapkan iman dan taqwa. Sebaliknya si penderhaka menjadikan pancainderanya sebagai wasilah penyerap kehitaman dosa.


Dalam hal ini imamul Ghazali rahimahullah memberi komentarnya: “pancaindera ibarat anak sungai yang mengalirkan air ke mudrik atau kalbu. Sekiranya yang mengalir itu adalah air jernih, maka penuhlah tasik kalbu dengan limpahan air jernih dan bakal menjernihkan perbuatan dan amal. Sekiranya, mata melihat benda mungkar. Telinga mendengar perkara tidak baik. Lidah berasa atau menyatakan benda yang Allah benci, ia akan menyebabkan aliran air ke tasik kalbu keruh. Kekeruhan ini akan menghasilkan tindakan dan tingkah laku yang keruh juga”.


Bagi hamba yang menggunakan nikmat tubuh badan dan panca inderanya ke arah ketaatan, kebenaran dan keredhaan maka penyudahnya adalah syurga. Sebaliknya, jika ia digunakan untuk meranduk dosa dan menggalas noda, maka padahnya adalah neraka. Renungilah amaran Allah SWT di dalam surah Al-A'raf ayat 179:


Maksudnya: " Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk (isi) neraka jahanam kebanyakkan dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi ) tidak mahu memahami dengannya dan mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya dan mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya; mereka itu seperti binatang ternak bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang yang lalai " .


Di kalangan anggota tubuh badan itu juga ada yang digelar Al Ajwafan. Apa maksudnya? Maksudnya Dua Rongga. Dua rongga ini sekiranya diatur urus dan digunakan dengan baik berpandukan Kitabullah dan Sunnah Rasul saw, maka ia boleh menjadi sungai yang mengalirkan lautan pahala dan hasanat. Sebaliknya, andai di biarkan dua rongga ini dimanipulasi oleh nafsu dan syaitan maka ia bertukar menjadi sungai kedosaan dan kemurkaan.


Sabda Nabi saw: “Dosa yang paling banyak menghumbankan (manusia) ke dalam neraka adalah (berpunca dari) Al Ajwafan (dua rongga) iaitu mulut dan kemaluan”. (Riwayat Ahmad dan At tirmizi daripada Abu Hurairah r.a.)


Rongga pertama: adalah mulut atau lidah.

Pepatah Melayu ada menyebutkan: “Kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa”. Memang benar. Sejarah dunia telah mencatatkan bahawa akibat dan penangan daripada keceluparan mulut juga lidah yang mazmumah, maka telah tercetuslah bermacam-macam kerosakkan, kemusnahan, persengketaan dan perperangan di muka bumi ini. Bahkan kerosakkan dunia akhirat.


Pernah sekali bila diadukan kepada Rasulullah saw perihal wanita yang kuat beribadat malam dan berpuasa pada siang harinya namun suka menyakiti hati jirannya dengan lidahnya, maka bersabda baginda saw: “Tiada kebaikkan lagi padanya; bahkan dia adalah penghuni neraka”.


Dosa mulut (lidah) ini berat dan besar sekali. Imam al Ghazali di dalam Ihya’nya sampai mewujudkan bab khusus lagi panjang lebar berkenan A-fa-tul lisan ataupun kecelaan lisan di dalam tajuk besar AL MUHLIKAT yakni perkara-perkara yang bakal membinasakan manusia. Bayangkan lidah sekecil itu yang juga menjadi alat untuk kita melafazkan dua kalimah syahadah yang suci juga akan menjadi panca indera yang paling banyak menghadapi pertuduhan dan pendakwaan di mahsyar nanti. Di dakwa atas alasan apa?


Lidah berkemungkinan sahaja akan dihadapkan kemuka pengadilan mahkamah Rabbul Jalil atas tuduhan jenayah yang banyak seperti mengumpat, memfitnah, memaki hamun, mencela, mencaci, menghina dan mencerca, bersumpah palsu, mencarut, menjaja cerita yang tak betul bertujuan memecah-belah hubungan silaturrahmi antara keluarga, kawan-kawan dan masyarakat.


Tanpa kefahaman agama dan perisai iman, mulut (lidah) akan tak ambil kisah melontarkan apa saja tanpa hadnya. Ia menjadi sukar dikawal walau pun kondisinya sangat dekat dengan kita untuk dijaga dan dipantau bahkan dari sudut biologinya ia telah pun terkepung dan di pagari dua perisai yang ampuh yakni perisai gigi dan mulut, namun ia masih dapat menerobos keluar juga.


Rongga kedua: Kemaluan


Inilah asbab (punca) kedua terbesar mengapa manusia akan terhumban ke dalam kawah neraka. Kerana kemaluannya yang dihalakan kepada maksiat dan dosa. Kepada zina, Liwat dan as Sihaq akibat kalah dengan runtunan nafsu syahawat yang meronta-ronta tidak pernah puas. Inilah antara perkara yang Nabi saw sangat takuti dan bimbangkan berlaku ke atas umatnya. Apakah dia? Ittiba’ul Hawa…’mengikut hawa nafsu’.


Akibat lemah iman di jiwa, maka syaitan tak henti-henti mendorong nafsu agar menggoda dan mengajak manusia supaya merosakkan agama, keturunan dan zuriat mereka dengan pelbagai cara yang dilarang Allah (hubungan haram) tanpa rasa takut kepada Allah, tanpa rasa malu dan segan silu lagi. Lihatlah hari ini.., dosa kemaluan telah di terjemahkan manusia dalam rupa bentuk pelacuran, perkosaan, perogolan, perzinaan, homoseksual dan lesbians.


Di atas dunia lagi, mereka yang terus-menerus meneguk kelazatan kemaluannya secara terkutuk dan terlarang akhirnya akan menyaksikan dengan mata kepalanya sendiri betapa Allah swt akan menimpakan kehinaan dan pelbagai penyakit yang tiada penawarnya. Namun, andai ia insaf dan bertaubat segera kepada Allah, mudah- mudahan Allah akan menerima taubatnya dan menyembuhkan penyakitnya. Kalau penyakitnya tidak juga sembuh-sembuh, maka diharapkan penyakit itu pada penyudahnya akan mengkifaratkan segala dosa-dosa yang dilakukan. Mati datang dalam keadaan dirinya sudah dibersihkan dan beroleh keampunan.


Sebaliknya, andai dosa kemaluan tidak disusuli dengan tubatan Nasuha, lalu maut datang menjemputnya sebelum sempat membersihkan segala nodanya, maka tiadalah pilihan lain melainkan terpaksalah ‘pelakunya’ merengkok tersiksa terlebih dahulu di dalam neraka untuk satu tempoh waktu yang tiada siapa juga yang tahu kecuali Allah swt jua. Wallahu a’alam.


Inilah yang dikatakan Al Ajwafan yakni dua perkara yang banyak menjadi sebab manusia tercampak ke dalam azab Allah di akhirat. Hanya kepadaNya kita mohon perlindungan.

0 comments:

 
© Copyright by SAHABAT AMAL  |  Template by Blogspot tutorial