Oleh Mohd Nasif Badruddinmnasif@hmetro.com.my
Rap
PENGGUNAAN muzik sebagai terapi bukan sesuatu yang baru diperkatakan, sebaliknya sudah digunakan meluas sejak dulu lagi. Jika sesetengah masyarakat selesa dengan bunyian semula jadi sebagai penenang jiwa, namun bagi umat Islam mereka mempunyai alternatif mendengar alunan zikir sebagai terapi rohani.
Zikir bukan saja menenangkan jiwa, tetapi juga memberi kelebihan tersendiri kepada mereka yang mengamalkannya sebagai rutin harian termasuk menjadi 'penggalak' melakukan amal kebaikan dan mengingati Tuhan.
Kebelakangan ini, banyak syarikat rakaman tempatan aktif menghasilkan album sebegini di samping album nasyid. Malah terbukti jelas, bacaan al-Quran, alunan zikir serta rintihan munajat antara produk Islami yang sentiasa mendapat tempat di kalangan penggemar genre berkenaan.Tidak ketinggalan, penyanyi dan penceramah terkenal Ustaz Amaluddin Mohd Napiah, 40, kini tampil dengan album Zikir Munajat Ustaz Amal sebagai buah tangan terbaru mengubat kerinduan peminat selepas hampir dua tahun tidak muncul dengan album baru.
Ketika berkunjung ke Balai Berita baru-baru ini, Ustaz Amal, berkata album ini lanjutan daripada album 'Qutul Qulub' (Santapan Jiwa) pada 2006 yang memuatkan koleksi zikir yang amat berguna untuk amalan seharian."Walaupun banyak produk sebegini di pasaran, tetapi album Zikir Munajat ini berbeza daripada yang lain kerana melodinya dicipta saya sendiri meskipun 'isinya' dikutip daripada al-Quran dan hadis."Malahan album yang dihasilkan tanpa sebarang alat muzik ini menampilkan beberapa artis nasyid sebagai suara latar alunan zikir dan bacaannya disemak tokoh agama terkenal, Datuk Hassan Azahari."Album ini bukan saja sesuai untuk seisi keluarga, malah tidak terhad kepada waktu tertentu sebaliknya boleh didengar pada bila-bila masa," katanya yang dilahirkan pada 11 Oktober 1968 di Kangar, Perlis.
Sebelum menghasilkan album solonya yang keenam ini, Ustaz Amal juga pernah muncul sebagai artis undangan dalam album Mawi yang berjudul Doa, Berzanji & Qasidah Berlagu dua tahun lalu.Katanya, alunan zikir sebenarnya sudah lama diamalkan oleh ibu bapa kita sejak dulu lagi. Cuma rentaknya berlainan dan dalam album ini, Ustaz sendiri menghasilkan melodinya dalam bentuk yang lebih komersial, sesuai dengan tuntutan semasa.
"Album sebegini juga sesuai di dengar pada bila-bila masa sama ada untuk diperdengarkan di masjid dan surau, program motivasi atau santapan halwa telinga sebelum tidur.
"Idea ini juga mengembang luaskan lagi amalan sahabat Nabi yang dititipkan dalam kitab lama ke bentuk audio dan selepas ini saya akan hasilkan dalam bentuk visual pula membabitkan pembikinan video klip."Bagi saya, album sebegini mempunyai kelebihan dan peminatnya tersendiri dan tidak perlu gusar daripada segi pasaran. Selain penggunaan yang meluas, ia juga boleh didapati di pasaran komersial di kedai muzik dan pasaran tradisional seperti kedai agama dan sebagainya," kata graduan bidang Usuluddin dan Dakwah dari University Of Islamic Studies, Karachi, Pakistan itu.
Album yang mengambil masa dua minggu proses rakaman itu diterbitkan Islamic Media Edutainment (IME) dengan kerjasama Inteam Records Sdn Bhd (IRSB). Album ini mengandungi 16 trek alunan zikir yang cukup syahdu dan dialunkan dengan cukup istimewa berbanding zikir sedia ada.Dimulai dengan zikir Kalimah At-Tauhid, At-Tasbih 1, At-Tahlil, Al-Hauqalah, At-Tasbih 2, Al-Istigfar, Basmalah, Al-Hamdalah, Doa Taubat Nabi Yunus, At-Tasbih 3, Zikrussalam, Doa Muhasabah, Ya Hayyu Ya Qayyum, Doa Menghilangkan Dukacita, Hasbiallah serta Doa Pagi dan Petang.Ustaz Amal memang tidak asing lagi dengan lagu nasyid serta zikir.
Mulai dikenali dengan penampilannya dalam album pertama kumpulan Raihan, Pujian-Pujian, kemudian tampil dengan beberapa album nasyid dan alunan zikir yang sangat menyentuh hati."Zikir Munajat juga sudah diiktiraf ramai sebagai satu konsep hiburan pendidikan (edutainment) yang diterima ramai kerana menampilkan kombinasi mendidik dan kerohanian.
Saya berharap ia akan mendapat sambutan ramai dan dijadikan amalan harian."InsyaAllah saya akan membukukan pula zikir munajat ini selepas mendapat tahu cetakan pertamanya habis dijual sebanyak 3,000 unit dan kini ia diulang cetak buat kali kedua," katanya.Album Zikir Munajat ini yang berada di pasaran sejak 26 September lalu boleh didapati dengan harga RM19.90 (cakera padat) dan RM13.90 (kaset).
Sumber: Harian Metro / MyMetro (22 Okt 2008)
0 comments:
Post a Comment