INSYA ALLAH! REZEKI KITA DIMARHABAN2U.COM


marhaban2u.com

JANA PENDAPATAN & DOWNLOAD NASYID DI MARHABAN2U.COM


marhaban2u.com

Saturday, October 25, 2008

Tidak Cukupkah Peringatan Ini?

Selain nikmat iman dan Islam yang merupakan anugerah Allah terbesar kepada hamba-hamba-Nya, nun teramat banyak lagi nikmat Allah yang dilimpahkan kepada mereka, sehingga mereka tak mampu serta tidak berdaya menghitungnya lagi.


Dalam pada itu, ramai manusia terlupa bahawa nikmat pancaindera dan anugerah kesejahteraan tubuh badan juga adalah di antara nikmat terbesar kurniaan Allah kepada mereka. Demikian juga segala tulang belulang dan urat sendi yang ada di dalam tubuh badan mereka itu. Semua nikmat tersebut mesti disyukuri sepenuh hati, yakni kepada Allah, Pemberi Nikmat Yang Maha Agung.


Firman Allah yang bermaksud:

"Wahai sekalian manusia? Apakah yang memperdayakanmu (sampai berlaku derhaka) kepada Tuhanmu Yang Maha Pemurah? Tuhan Yang Maha Pemurah? Tuhan yang telah mencipta dan mengatur kejadianmu, lalu menjadikan anggotamu sesuai (dengan tujuan anggota itu dijadikan), serta menjadikan (binaan tubuh badanmu) sama padan dengan kekuatannya; dalam bentuk dan rupa apa sahaja yang dikehendaki-Nya. Dialah yang menyusun kejadian kamu." (Al-Infitaar: 6-8)


Keji sungguh orang yang tahu dirinya makhluk ciptaan Allah, kemudian ia menderhakai-Nya siang dan malam, pagi dan petang. Seluruh pancaindera dihala ke arah maksiat semata-mata. Apalagi kalau pancaindera itu digunakan untuk melakukan penzaliman dan aniaya sesama manusia. Ingat, bukan sekadar dengan suluhan ilmu akli dan nakli tidak boleh menerima sikap ini, bahkan hati kecil atau fitrah semulajadi pun akan menolak sekeras-kerasnya.


Ibnu Abbas radhiyallahu anhu, ketika menfasirkan ayat 8 surah at-Takasur:

"Kemudian, kamu sesungguhnya akan ditanya pada hari itu (hari akhirat) tentang segala nikmat (yang telah kamu nikmatinya)berkata:


"Kenikmatan (yang tersebut dalam ayat di atas) itu ialah kesihatan tubuh badan, pendengaran dan penglihatan."


Andai kita merenung nikmat yang paling dekat dengan kita yakni tubuh badan dan pancaindera ini sendiri pun, nescaya kita menjadi insaf dan sedar akan ketelanjuran dan keterbabasan kita. Apakah yang telah banyak kita lakukan? Kebaikan ataupun kejahatan?


Imbaulah detik dan usia yang telah berlalu pergi. Apakah yang telah mata kita lihat dan saksikan? Apakah yang telah telinga kita dengarkan? Ke arah dan destinasi manakah kaki kita melangkah? Apakah yang telah tangan kita ambil, pegang dan sentuh?


Sungguh, nikmat yang juga amanah Allah itu telah banyak kita sia-siakan. Kita telah abaikan sewenang-wenangnya. Firman Allah: FA BI AYYI A-LA-IRABBiKUMA TUKAZZIBAN?”. (Ar Rahman:)


Apakah jawapan kita nanti saat disoal siasat Allah di mahkamah Rabbul Jalil? Mahkamah di mana mulut kita akan dikunci serapat-rapatnya! Kala itu hanya mata dan telinga kita yang berkata-kata manakal tangan dan kaki pula akan memberi penyaksian.


Firman Allah subhanallahu wataala:

"Sesungguhnya pendengaran dan penglihatan juga hati, semua anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya (selama di dunia)." (Al-Israk: 36)


Sahabat Nabi, Ibnu Mas'ud radhiyallahu anhuma pula menafsirkan ayat 8 surah at-Takasur tadi dengan katanya: "Kenikmatan itu ialah keamanan dan kesihatan."


Secara peribadi, saya cukup bimbang, andaikata kita tidak bersyukur dan insaf dengan nikmat keamanan serta kedamaian yang sedang kita nikmati sekarang ini, bila-bila masa sahaja Allah boleh menarik balik nikmat itu dari kita, keluarga dan negara kita, lalu digantikan dengan malapetaka dan sebagainya. Berapa banyak sudah negara yang dilanda malapetaka, bencana alam, kekacauan, kemiskinan, rusuhan, peperangan? Bukankah ia tidak mustahil bagi Allah, Tuhan semesta alam?? Apakah tidak cukup lagi peringatan Allah ini untuk kita semua.


Bukankah umat-umat hebat yang terdahulu dari kita seperti 'Ad, Tsamud dan Sadum telah dimusnahkan Allah dalam pada mereka leka diulit kenikmatan, alpa dalam kesyahwatan, tenggelam dalam kederhakaan, lalai dari ketaatan serta jauh dari kesyukuran?


Dalam satu riwayat dari at-Tirmizi dan Ibnu Majah tersebut: "...Sesungguhnya perkara pertama yang akan disoal oleh Allah kepada hamba-Nya ialah Allah berfirman: "Tidakkah Kami memberikan kesihatan kepada tubuh badanmu dan Kami telah memberikan kamu minum dengan air sejuk yang menyegarkan?"


Kalau sekadar segelas air sejuk yang diteguk pun akan ditanya, apalagi kalau ianya nikmat nyawa, pancaindera, keluarga, isteri dan anak-anak, harta, wang ringgit, pangkat, pingat darjah kebesaran, kekuasaan, pengaruh, ilmu, banglo, kereta mewah, saham pelaburan? Terdayakah kita menjawab semua amanah dan pertanggungjawaban tersebut? Allahul Musta'an.


(Artukel ini pernah disiarkan di majalah Anis)

0 comments:

 
© Copyright by SAHABAT AMAL  |  Template by Blogspot tutorial