INSYA ALLAH! REZEKI KITA DIMARHABAN2U.COM


marhaban2u.com

JANA PENDAPATAN & DOWNLOAD NASYID DI MARHABAN2U.COM


marhaban2u.com

Tuesday, June 29, 2010

SEBAIK-BAIK ORANG YANG BERDOSA

Selain jiwa Nabi saw dan jiwa sekelian Anbiya 'Alahimus Solatu Was Salam, jiwa siapakah di kalangan kita yang tidak pernah tergelincir, terkulai dan terkandas? Jiwa siapakah yang tidak pernah ditewaskan hawa nafsunya? Jiwa siapakah yang tidak pernah dikalahkan amukan syahwatnya? Diri siapakah yang tidak pernah terlajak berbuat derhaka?

Begitulah hakikatnya diri kita, sekelian anak Adam di dunia ini. Di hadapan keagungan, kebesaran dan kekuasaan Allah 'Azza Wa Jalla, kita seluruhnya adalah hambaNya yang sering berdosa, yang serba lemah, yang amat jahil, yang sangat faqir lagi serba kekurangan. Allah jualah yang Maha Sempurna.

Ketahuilah bahawa segala sifat kekurangan yang ada pada diri kita itu merupakan dugaan dan ujian dari Allah. Seorang hamba yang sentiasa sedar dirinya serba kekurangan di hadapan Penciptanya yang Maha Agung lagi Maha Sempurna, maka di situlah terletaknya kemuliaan dirinya.

Sebaliknya orang yang merasa dirinya serba hebat, serba pandai, serba tahu, serba canggih di hadapan Khaliqnya maupun di hadapan hamba-hambaNya yang beriman, maka dialah makhluk yang paling hina dan biadap pada pandangan Allah swt.

Kekurangan dan kelemahan yang ada pada diri kita juga bertujuan mencetuskan kesedaran dan keinsafan bahawa kita semua adalah hambaNya yang amat memerlukan Rahmat, belas kasihan dan pertolonganNya di setiap masa dan ketika. Inilah yang dikata 'Rasa Kehambaan' yang wajar kekal menjadi pegangan, prinsip dan iltizam kita andai kita nahu selamat di dunia lebih-lebih lagi di akhirat.

Siapa pun kita, nescaya tidak akan berdaya melakukan apa jua perkara tanpa izin dan kehendakNya. Kita harus akur dengan ketentuan Allah itu supaya kita sentiasa beroleh redhaNYa dan diterima untuk mentaqarrubkan diri kepadaNya. Hanya orang yang takbur sahaja yang tidak mahu memohon pertolongan Allah, tunduk kepada IradatNYa serta mengaku kelemahan dirinya.

Selanjutnya sesama manusia, bertolak dari kesedaran yang mendalam bahawa masing-masing orang mempunyai kelemahan dan kekurangannya yang tersendiri, maka hiduplah mereka secara saling lengkap melengkapi, saling bantu membantu, saling tolong menolong dan bekerjasama.

HAMBA SEJATI: MEMOHON KEAMPUNAN

Di antara kelemahan dan kekurangan diri kita bahawa kita tidak sunyi dari melakukan dosa, samada sengaja maupun tidak sengaja. Itulah resam sekelian Bani Adam. Itulah lumrah sekelian insan ciptaan Tuhan. Namun hamba yang sejati akan segera memohon keampunan tanpa bertangguh-tangguh. Penangguhan taubat adalah azab yang tidak tertanggung. Inilah sikap dan sifat hamba yang sejati yang tidak rela membiarkan dosa-dosanya menjadi jaluran tebal atau kabut hitam yang menghijabkan dirinya dari pandangan dan belaian Rahmat Tuhannya Yang Maha Pengasih.

Sabda Rasulullah SAW: "Setip anak Adam itu berdosa belaka dan sebaik-baik orang yang berdosa ialah yang memohon taubat (kepada Tuhannya)." (Riwayat At tirmizi (2499), Ibn majah (4251) dan Imam Ahamd (111/198)).

Sesungguhnya Allah itu Maha Pengampun dan amat suka memberikan keampunan. Al Ghafur atau Al Ghaffar (Yang Maha Pengampun) adalah di antara nama-namaNya yang indah lagi Maha agung. Lihatlah, Allah mencipta hamba-hambaNya di bumi ini supaya Dia dapat mengampuni dan merahmati mereka. Supaya Dia dapat menilai keikhlasan, kesetiaan dan kejujuran pengabdian mereka. Allah sentiasa rindu, sentiasa bersedia, sentiasa terbuka untuk mendengar rintihan, taubat dan munajat hamba-hambaNya yang datang kepadaNya untuk membersihkan diri dan bersungguh-sungguh berjuang di jalanNya.

Tak kira malam atau siang, pagi atau petang, pintu keampunan Allah sentiasa terbuka selebar-lebarnya. Seluas-luasnya. Allah menantikan 'Rujuk' (kepulangan) hamba-hambaNya (dari daerah kederhakaan kepada daerah kepada daerah ketaatan) dengan penuh kerinduan dan kecintaan. Apa pandangan kita kalau tak semena-mena ada kawan beritahu hendak datang menziarahi kita pada pukul 3 pagi? Boleh terimakah? Masuk akalkah? Tuan rumah pastinya tidak selesa andai ada orang datang nak berziarah dan bertamu pada waktu-waktu tersebut kecuali pada sebab-sebab yang tak dapat tidak.

Namun, Allah SWT sedia menerima kehadiran dan kepulangan hamba-hambaNya bila-bila masa sahaja. Allah akan marah kalau hamba-hambaNya tidak mahu mengetuk pintu keampunan dan RahmatNya. Allah amat gembira dengan kepulangan, taubat dan inabah hambaNya lebih dari kegembiraan si Arab Badui yang berjumpa semula dengan unta kesayangannya yang telah kehilangan sebelumnya.

Pada saat menjelang wafat, sahabat Nabi SAW bernama Abu Ayyub al Ansari R.A. Mengatakan: "Selama ini aku menyembunyikan sesuatu daripada kalian yang pernah aku dengar dari Rasulullah SAW. Benar, aku pernah mendengar beliau bersabda: "Seandainya kalian tidak pernah berdosa, nesacaya Allah akan menciptakan makhluk yang berbuat dosa dan Dia mengampuni mereka." (Riwayat Muslim – 2748 / At Tirmizi : 3539).

0 comments:

 
© Copyright by SAHABAT AMAL  |  Template by Blogspot tutorial