INSYA ALLAH! REZEKI KITA DIMARHABAN2U.COM


marhaban2u.com

JANA PENDAPATAN & DOWNLOAD NASYID DI MARHABAN2U.COM


marhaban2u.com

Wednesday, June 23, 2010

MULIA YANG BERTUKAR HINA

Istimewa sungguh kedudukan seorang manusia atau insan di sisi Allah SWT. Sedar atau pun tidak, Bani Insan itu lebih mulia, lebih utama dan lebih tinggi daripada sekelian makhluk lain yang diciptakan Allah SWT. Kenapa? Kerana dia adalah makhluk pilihan Allah. Firman Allah: "Sesungguhnya kami Telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya." (AT-Tiin : 4)

Banyak sekali rahsia-rahsia dan hikmah ciptaan Ilahi yang terpendam dipermukaan atau dataran bumi ini. Maka, penciptaan manusia selain untuk beribadah (mengabdikan diri) kepada Allah juga bertujuan membongkar rahsia-rahsia Ilahi yang banyak dan sarat itu.

Lihatlah. Bumi yang yang diciptakan Allah dengan segala kelengkapan ini kemudian dihamparkanNya kepada manusia sebagai tempat tinggalnya sebelum akhirnya dia meneruskan perjalanan menuju ke negara abadi. Ya, segala sesuatu yang di alam ini telah diciptakan Allah untuk kegunaan dan kemanfaatannya.

Antara yang menarik di dalam penciptaan manusia ini ialah Allah SWT telah mengkhususkan 'dia' untuk mengenaliNya, mencintaiNya, mengharapkan keampunan dan redhaNya seterusnya mendekatkan diri kepadaNya. Hebat sekali. Bukankah dengan kesungguhannya untuk mengenali hakikat dirinya sendiri akan menjadi asbab serta membuka pintu dan jalan yang luas untuk dia mengenal Allah SWT, Tuhan Penciptanya.

Masya Allah! Kepada manusia Allah berikan apa yang tidak Dia berikan kepada makhluk-makhluknya yang lain. Untuk siapakah Allah menjadikan matahari yang menyimbahkan cahaya ke seluruh buana, bulan dengan siraman cahayanya nan mempersona, gugusan bintang-bintang yang indah bekerdipan dari kejauhan, sungai yang mengalir dingin ke muara, suasana pagi nan ceria syahdu mempersona, lautan yang luas terbentang dengan 1001 macam khazanahnya, tumbuh-tumbuhan yang segar menghijau?

Bukankah semuanya perkara itu dan banyak lagi yang lain telah diciptakan untuk manfaat dan kemudahan manusia, ciptaanNya yang istimewa?

Tidak cukup dengan itu. Para malaikat penghuni ghaib di langit dan di bumi yang entah jumlah berapa dek kerana terlalu banyaknya mereka, sebahagian besarnya telah ditugaskan Allah 'secara konsisten' semata-mata untuk menjaga, memelihara dan menguruskan kemaslahatan manusia. Secara khususnya, Allah ciptakan Raqib dan 'Atid menjadi pengawal di kiri dan kanannya. Malaikat Hafazhah ditugaskan menjaga keselamatannya, malaikat As Sabihat yang berlumba-lumba serta saling mendahului dari ufuk langit turun ke muka bumi bagi mencatat pahalanya manakala Kira-man Ka-tibin ditugaskan Allah menjadi 'juru tulis' dan pencatat amalnya.

Sebaliknya, tiada seorang pun manusia yang ditugaskan Allah supaya menjaga malaikat.

Andainya manusia faham akan hal ini, maka ia akan menjadi hamba yang sentiasa insaf, sedar dan bersyukur kepada Allah. Segala kemuliaan yang Allah beri bukan membuatkan dirinya (manusia) menjadi lupa, lalai, leka, sombong, melampaui batas, zalim dan berbuat sewenangnya. Sebaliknya kemuliaan dan kehebatan itu hendaklah disyukuri dan dinsafi kerana ia hadir bersama amanah dan pertanggungjawaban yang maha berat.

Tanggungjawab yang berat
Dengan segala kemuliaan yang ada pada diri manusia itu, Allah telah menjadikan dirinya sebagai KhalifatuLLah Fil Ardhi (khalifah Allah di muka bumi). Amanah sebagai pelaksana, wakil ataupun 'duta' Allah di muka bumi.

Dari satu sudut, seorang pemimpin dari masyarakat bukan sahaja berperanan sebagai 'wakil rakyat' kepada rakyat yang diwakilinya bahkan yang lebih besar dari itu ialah peranannya sebagi wakil Allah untuk rakyat. Kalau jadi wakil Allah untuk rakyat jelata (manusia yang dipimpinnya), maka ia tidak boleh memandai-memandai dan sesuka hatinya membuat hukum dan undang-undang sendiri. Dia hendaklah melaksanakan segala apa yang telah diperintahkan Allah kerna dia hanyalah sekadar seorang khalifah (duta) Allah yang tertakluk kepada dasar, terma dan syarat yang telah ditetapkan Allah atas dirinya.

Kita katakan amanah ini amat berat untuk digalas kerana langit, bumi dan gunung-ganang juga tidak sanggup untuk memikulnya sebaliknya manusia tampil rela untuk memikul dan menanggungnya.

Firman Allah yang mafhumnya: "Sesungguhnya Kami telah mengemukakan amanat kepada langit, bumi dan gunung-gunung, maka semuanya enggan untuk memikul amanat itu dan mereka khawatir akan mengkhianatinya, dan dipikullah amanat itu oleh manusia. Sesungguhnya manusia itu amat zalim dan amat jahil." (Al Ahzab: ayat 72).

Kegagalan manusia untuk mensyukuri anugerah Allah, menjadi hambaNya yang patuh dan menyerah diri serta melaksanakan amanah kekhalifahannya di bumi akan menjadi faktor (sebab) hilang dan tercabut status 'mulia'nya di sisi Allah kerana manusia yang mulia hanyalah manusia yang bertaqwa. Bila tidak bertaqwa maka jatuh hinalah dia sekali pun sebelumnya dia merupakan sebaik-baik makhluk ciptaan Tuhan.

Manusia-manusia yang gagal berperanan sebagaimana yang diperintah dan dikehendaki Allah itu bakal beroleh kehinaan, kerugian dan kehancuran di dunia dan di akhirat bahkan dia akan dilemparkan ke dalam neraka Jahannam. Diri mereka yang asalnya mulia telah jatuh sehina-hinanya persis binatang ternakan bahkan lebih teruk lagi.

Firman Allah yang bermaksud: "Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka Jahannam kebanyakan dari jin dan manusia, mereka mempunyai hati, tetapi tidak dipergunakannya untuk memahami dan mereka mempunyai mata (tetapi) tidak dipergunakannya untuk melihat, dan mereka telinga (tetapi) tidak dipergunakannya untuk mendengar. Mereka itu umpama binatang ternakan bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai." (Surah al-A'raf: 179)

Jesteru, muliakan diri dengan mahkota Taqwa. Hiasilah diri dengan permata iman jika 'benar' engkau makhluk istimewa pilihan Tuhan!

Rujukan: Kesepaduan Iman & Amal Soleh: Al Marhum Prof Dr Hamka

0 comments:

 
© Copyright by SAHABAT AMAL  |  Template by Blogspot tutorial