INSYA ALLAH! REZEKI KITA DIMARHABAN2U.COM


marhaban2u.com

JANA PENDAPATAN & DOWNLOAD NASYID DI MARHABAN2U.COM


marhaban2u.com

Monday, May 10, 2010

MUHASABAH SOLAT


Bila hati dan ‘seluruh’ diri difokuskan kepada solat, maka seorang muslim itu sebenarnya berada di dalam suatu perjalanan Rohaniyah yang sungguh hebat dan indah. Tiada yang terfikir lagi kala itu selain Allah SWT. Sepanjang 24 jam yang dilalui dalam sehari, tiada saat yang lebih indah dan manis buat dirinya melainkan saat dirinya tegak bermunajat di hadapan Allah SWT.

Saat solat berlangsung, dirinya dapat merasai,menemui dan mengecapi apa yang dikatakan hakikat keabadian. Rohnya amat merdeka saat dibawa mengembara jauh menuju keheningan dan kesyahduan Mikraj.

Allahh…., saat solat lima waktu itulah, jiwa muslim menjadi sebebas-bebasnya dari ‘kekangan’ dan ‘hambatan’ dunia yang tidak pernah sudah dan tidak pernah bernoktah melainkan saat Malakul Maut menzahirkan dirinya.

Saat berqiyam mengadap Qiblat, jiwa muslim menjadi amat tenang , minda dan tubuhnya terasa segar dan penuh kerehatan bahkan segala masalah dan bebanan hidupnya ‘lenyap’ dineutralkan saat dahi dan enam anggota sujudnya yang lain menyentuh bumi persis ‘wayar bumi’ yang berfungsi meneutralkan tekanan dan bebanan tenaga elektrik ‘yang berlebihan’ ke dalam bumi.

Sabda Rasulullah SAW: “Pusat kebahgiaanku dijadikan terletak pada (ibadah) solat.” (Riwayat Muslim).

Demikianlah nilai, kepentingan, harga dan kedudukan solat pada matahati dan pegangan hidup seorang muslim. Sudah terang lagi bersuluh.

Namun, apakah solat kita berlangsung sebagaimana digambarkan? Apakah solat kita selama ini benar-benar membuahkan ketenangan, kebahgiaan, kekuatan dan menghadirkan pertolongan? Apakah roh kita terasa benar-benar bahagia dibawa ‘mengembara’ ketika bersolat ataupun sebaliknya yakni rasa seakan ‘didera’? Apakah kita telah benar-benar menjiwai ‘makna-makna’ dan pengajaran tersirat yang terkandung di dalam kefarduan solat itu?

BELUM RASA KELAZATAN SOLAT

Ya, sehingga kini kita belum benar-benar dapat merasai semua ‘keindahan’ cetusan solat itu. Lantaran apa ya? Ya, lantaran solat kita masih terasa berat. Masih dianggap berat. Solat-solat juga.., tapi jiwa kita rasa lesu dan tidak bersemangat melaksanakannya. Alasan itu tidaklah pelik dan boleh diterima kerana penjelasan Allah yang berikut.

KENAPA SOLAT TERASA BERAT?

Solat dianggap ‘berat’ dan terasa ‘payah’ kerana hati belum benar-benar khusyuk. Hati kita belum tunduk dan pasrah kepada Allah dalam ertikata yang sebenar-benarnya. Bila hati tak khusyuk, maka solat yang lima minit terasa bagai satu jam. Itulah jawapannya.

Firman Allah SWT: “..Jadikanlah sabar dan solat sebagai penolongmu. Dan sesungguhnya ‘yang demikian’ itu sungguh berat kecuali bagi orang-orang yang khusyuk.” (Al Baqarah: 45).

Kerana itu, dalam melaksanakan solat, tajuk khusyuk menjadi terlalu penting. Bila orang mukmin dikatakan memelihara solat, maka sesungguhnya mereka bersungguh-sungguh memelihara solat lahir dan batinnya. Memelihara kekhusyukannya. Kerana menurut kefahaman mereka, bahagian solat yang dikira berpahala hanyalah bahagian yang disertai khusyuk padanya. Jika tidak, solat seseorang hanya tinggal pergerakan mekanistik yakni luarannya sahaja bagai jasad yang tidak bernyawa.

0 comments:

 
© Copyright by SAHABAT AMAL  |  Template by Blogspot tutorial