INSYA ALLAH! REZEKI KITA DIMARHABAN2U.COM


marhaban2u.com

JANA PENDAPATAN & DOWNLOAD NASYID DI MARHABAN2U.COM


marhaban2u.com

Saturday, May 22, 2010

ALLAH ITU DEKAT : TANDA PEMAQBULAN

Doa hamba yang beriman pasti sahaja didengar dan dirai oleh Allah SWT. Dari limpahan nur Al quran, Allah telah menjelaskan bahawa Dia amat dekat dengan hamba-hambaNYa itu. Pemaqbulannya hampir. Demikian juga rahmatNya. Jaminan ‘pemaqbulan ‘ Allah itu sentiasa ada dan terbuka selama mana sekelian hambaNya tidak pernah jemu berdoa, merayu dan bermunajat kepadaNya.

Allah berfirman:
“Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa dekat (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepada-Ku. Maka hendaklah mereka menyahut seruanKu (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku supaya mereka mendapat petunjuk.” ( Al-Baqarah 2: 186)

Di dalam kitab Tafsir Jamiul-Bayan, pengarangnya Imam At-Tobari Rahimahullah ketika menghuraikan ayat di atas telah mengutarakan beberapa riwayat yang memperkatakan tentang sebab-sebab diturunkan ayat ini. Kepelbagaian riwayat-riwayat ini menunjukkan ayat ini merupakan satu respons kepada pertanyaan mengenai di mana Allah, bilakah masa yang sesuai untuk berdoa dan bagaimanakah cara untuk berdoa? Lalu Allah s.w.t menurunkan firman-Nya ini untuk memberi tahu kepada hamba-hambaNya betapa Dia adalah sangat dekat dengan mereka.

PELBAGAI CARA PEMAQBULAN

Hamba yang mukmin penuh yakin bahawa doa serta hajat mereka tidak akan bahkan selama-lamanya tidak pernah disia-siakan Allah. Mereka tidak pernah jemu berdoa dan meminta kepada Allah yang Maha Luas KurniaNya. Bagaimana mereka boleh jemu berdoa? Bagaimana mereka boleh ‘letih’ merintih? Bahkan mereka amat takut andai mereka tidak tahu atau tidak rajin berdoa kerana baginda Rasulullah SAW menjelaskan bahawa Allah SWT amat marah kepada orang-orang yang tidak mahu berdoa dan meminta kepadaNya.

Sungguh, ‘pemaqbulan’ ke atas doa seorang hamba itu berada di dalam beberapa situasi sebagaimna yang diterangkan oleh Nabi SAW. Bilamana situasi dan natijah pemaqbulan ini difahami maka tidak akan berbaki lagi di dalam dada sebarang rasa syak, ragu maupun tidak sabar (gopoh) saat menanti Istijabah.
Allah itu Maha Dekat. Doa seseorang mungkin dimakbulkan melalui salah satu dari tiga cara seperti yang disebutkan oleh baginda Nabi s.a.w. dalam hadith Abi Sa`id al-Khudri di bawah:

Maksudnya: "Tidak ada seorang muslim pun yang berdo`a dengan sesuatu do`a yang tidak ada di dalamnya dosa atau memutuskan kekeluargaan, melainkan Allah akan beri salah satu dari 3 perkara; sama ada disegerakan untuknya (dimakbulkan di dunia), ataupun disimpan untuknya pada hari akhirat (diberi balasan baik pada akhirat), ataupun diselamat dia dari keburukan yang seumpamanya."

Kata al-Imam al-Syaukani dalam Tuhfah az-Zakirin : Hadith ini riwayatkan oleh al-Imam Ahmad, al-Bazzar, Abu Ya'la, kata al-Munziri: Sanadnya sahih (m.s. 65, cetakan. Lubnan)

“Ah, yang penting pemaqbulannya. Bagaimana cara pemaqbulannya, maka ia terpulang dan terserahlah kepada Allah. Apa yang diputuskan Allah tentu sahaja baik untuk hamba-hambaNya,” betik hati hamba yang beriman.

SAAT DOA DITERIMA

Khabarnya sesetengah orang soleh ‘berupaya’ mengesan dan dapat mengetahui saat Allah memustajab dan memaqbulkan doa mereka. Subhanallah! Pelik bunyinya tapi itulah kebenarannya.

Thabit Al Bannaniy Rahimahullah (seorang tabi’in yang mulia) menukilkan sebuah kisah menarik mengenai seorang ‘abid sezaman dengannya.

“Sungguh aku dapat mengetahui saat Allah ‘Azza wa Jalla menerima (memustajabkan) doaku,” cerita abid tersebut.

Hadirin yang ada kala itu semuanya merasa pelik dengan kenyataan si abid.

“Hah! Kamu boleh tahu saatmana dan kalamana Allah memustajabkan doa kamu?” tanya sekelian hadirin penuh kehairanan.

“Ya,” jawab si abid ringkas namun sarat keyakinan.

“Bagaimana kamu mengetahuinya?” tanya hadirin lagi. Penuh minat.

“Bilamana bergetar jantung (hati)ku, menggigil kulit (tubuh)ku, mengalir airmataku, dibukakan nikmat (kelazatan) berdoa padaku, maka saat itu aku tahu (yakin) bahawa sesungguhnya Allah telah memustajab (memaqbulkan) doa-doaku,” jawab si abid penuh syukur kepada Allah, Rabb yang Maha Pemaqbul segala hajat dan permintaannya.

Demikian kisahnya. Halusnya pengamatan dan pembacaan insan yang soleh. Ya..kerana hati mereka yang bersih. Hati yang bersih sentiasa terkesan dan tersentuh dengan tarbiyah dari Allah swt manakala hati kotor dan buta tidak akan nampak maupun tersentak dengan murka Allah sekalipun ombak Tsunami melibas tinggi di halaman rumahnya serta meranapkan segala apa yang ada.

Tanpa pengalaman rohaniah dan rasa-rasa itu, para solihin merasakan doa yang mereka pohonkan macam tidak cukup syarat. Tiada penghayatan dan tiada jiwa. Doa-doa yang tidak disertai ‘jiwa’ (lalai entah menerawang ke mana) dan tidak diusahakan prasyarat-prasyaratnya, tidak akan diterima Allah SWT.

Apakah rasa dan pengalaman rohani yang dirasai ‘abid itu dapat juga kita kecapi selama ini?

Allah..! Pengalaman indah tentunya ‘amat jauh’ sekali untuk dinikmati selagi mana kita berdoa dengan hati yang lalai, tubuh badan yang leka, ‘Jumudul ‘Ain’ yakni mata yang kaku , permohonan yang lesu, fikiran yang bercelaru manakala perut pula sentiasa terisi dengan sumber yang haram, syubhah lagi tidak menentu.

0 comments:

 
© Copyright by SAHABAT AMAL  |  Template by Blogspot tutorial