Batu Hitam itu lebih mahsyur dan lebih dikenali ramai dengan nama Hajarul Aswad. Yakni dalam sebutan Arabnya.
Sejarah Hajarul Aswad sangat lama. Sangat panjang. Entah berapa banyak manusia yang telah melambai, menyentuh dan mengucupnya, namun mereka semua sudah tiada lagi di dunia ini...sebaliknya hajarul Aswad masih kukuh teguh di penjuru Ka'abah Al Musyarrafah, yakni di sudut timur Kaabah pada ketinggian 1.5 meter dari lantai Masjidilharam.
Hajarul Aswad banyak dikaitkan dengn kisah dua insan mulia ini. Kedua-duanya rasul pilihan Allah.
Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail 'Alaihimas Salam.
Kepada Nabi Ismail puteranya yang tercinta, Nabi Ibrahim 'alaihimas salam meminta agar dibawakan keada seketul batu buat dijadikan tanda bagi memulakan ibadah Tawaf mereka.
Dengan penuh ketaatan, Nabi ismail a.s pun membawa dan menghulurkan kepada ayahnya sebuah batu yang sungguh istimewa. Batu itulah Hajarul Aswad.
Ah, bagaimana Nabi Ismail a.s menemuinya?
Menurut riwayat, Hajarul Aswad diturunkan dari langit dan telah ditemui oleh Nabi Ismail secara kebetulan namun semua itu telah pun termaktub di dalam ilmu, kehendak dan perancangan Allah SWT dalam usaha menyelesaikan pembangunan Baitullahil Haram yang kelak akan menjadi Kaabah (Qiblat) bagi sekelian kaum muslimin.
Tahukah anda bahawa warna asal Hajarul Aswad (Batu Hitam) ialah putih? Lebih putih dari susu!
Tetapi, kenapa kita panggil dia 'Batu Hitam' (Hajarul Aswad)? Kemanakah menghilang warna putihnya? Kenapa ia bertukar menjadi hitam (Aswad)?
Asalnya putih kemudiannya bertukar hitam. Kenapa ya?
Jawabnya, kerana dosa-dosa anak Adam (manusia) itu sendiri. Bukankah Nabi SAW pernah menjelaskan bahawa dosa yang tidak kita susuli dengan taubat akhirnya akan meninggalkan kesan negatif berterusan berupa ' Satu Titik Hitam' yang melekat di dinding hati. Itu kalau satu dosa. Bagaimana kalau 100 dosa aau 1000 dosa?
Demikian juga Nabi SAW pernah menjelaskan bahawa wudhuk yang sempurna berkesan membersihkan dosa-dosa kecil seorang muslim. Dosa-dosa kecil yang mengalir bersama basuhan wudhuknya yang sempurna itu juga berwarna hitam sebagaimana pernah disaksikan oleh sebahagian solafus soleh di zaman silam.
Sabda Nabi SAW: "Al Hajarul Aswad itu turunnya dari syurga dan ia lebih putih dari susu, lalu dihitamkan oleh dosa-dosa anak Adam (manusia)." (Riwayat At Tirmizi).
Benar sekali. Dosa manusia telah menghitamkan segala-galanya.
Hajarul Aswad tak ubah umpama bayangan hati kita semua.
Dosa-dosa manusia yang menyentuh dan mengucupkan telah mengakibatkan kehitamannya.
Terfikirkah kita betapa hitamnya hati kita semua lantaran dosa-dosa yang kita lakukan selama ini? Walhal asal hati kita dahulunya juga putih bersih laksana kain putih?
Kesan dosa tidak terhenti sekadar itu? Dosa yang tidak disusuli taubat juga telah menghitamkan wajah-wajah manusia, menghitamkan tingkah laku, sikap dan keperibadian mereka hingga tenggelamlah mereka dalam zulmat (kegelapan) yang bertimpa-timpa.
Mencium Hajarul Aswad
Kerana Nabi SAW mencium Hajarul Aswad ketika baginda melakukan tawaf di Baitullahi Haram, maka umat Islam zaman berzaman telah mencontohi perbuatan baginda itu.
Ertinya umat Islam tidak boleh mencium Hajarul Aswad dengan tujuan dan maksud yang lain apalagi terlanjur berbuat syirik dengan menyembahnya dan menganggapnya berkuasa memberi manfaat dan mudharat.
Pegangan dan situasi ini amat bahaya. Andai tdak bertaubat dan kembali ke pangkal jalan, neraka padahnya.
Ada lagi sikap segelintir umat islam yang dangkal berkenaan mencuim Hajarul Aswad. Pelik tapi benar.
Mereka beranggapan bilamana diri telah banyak berbuat dosa maka sudah cukup dengan sekadar pergi ke Makkah lalu terpa mencium Hajarul Aswad, maka akan terampunlah segala dosa yang ada. Setelah pulang dari Makkah berbuat dosa lagi. Buat banyak-banyak dosa pun tak mengapa. Bukankah Hajarul Aswad ada? Tahun depan kumpul duit dan pergi cium Hajarul Aswad sekali lagi. Maka, berguguranlah segala dosa-dosa yang dilakukan pada tahun itu.
Lalu, kedatangan mereka ke tanah suci bukan lagi untuk mengabdikan diri kepada Allah sebaliknya semata-mata mahu mengadap dan memuja Hajarul Aswad.
Mereka mengucup dan mencium Hajarul Aswad tanpa mengetahui kenapakah Nabi SAW mengucupnya.
Dalam kitab Al Khataya Fi Nazharil Islam karangan As Syeikh 'Afif Abdul Fattah At Tabbarah mencatatkan bahawa "Mungkin Nabi SAW mencium Hajarul Aswad kerana ianya bekas (batu yang datang) dari syurga atau sebagai peringatan (penjelasan) bahawa tangan-tangan yang mulia telah membawanya dan meletakannya di tempatnya iaitu tangan-tangan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail 'alaihissalam. Orang Islam tidak menyembah Hajarul Aswad, akan tetapi (mereka) mengkhususkannya sebagai penghormatan dan pengagungan kerana kedudukannya dan penciuman itu adalah mengikuti jejak nabi SAWdisamping perjanjian dengan Allah untuk taat kepadaNYa dan menjauhi maksiat."
Saidina Umar Al Khattab r.a.ketika mencium Hajarul Aswad telah berkata: "Demi Allah, sungguh aku tahu bahawa engkau adalah batu yang tidak merugikan dan tidak memberikan manfaat dan seandainya aku tidak melihat Rasulullah SAW menciummu, nescaya aku tidak mahu mahu menciummu."(Hadis No. 228 Kitab Sahih Muslim).
Bolehkah Puasa Sunat Selepas 15 Sya’ban?
12 years ago
0 comments:
Post a Comment