Ada dua jenis buta.
Buta mata dan buta hati.
Buta mata tak nampak jalan di dunia. Manakala buta hati tak akan nampak jalan di akhirat.
Moga tidak terhimpun dua buta pada diri seseorang. Kerana bilamana terhimpun (bersatu) di antara buta mata dan buta hati, maka ia dikira sebesar-besar malapetaka ke atas diri pemiliknya. Sudahlah tidak dapat melihat di atas dunia, di akhirat pula dibangkitkan dalam keadaan buta renta.
Firman Allah: " kerana keadaan yang sebenarnya bukanlah mata kepala yang buta, tetapi yang buta itu ialah mata hati yang ada di dalam dada." (Al Hajj:46).
Kasihan.
Orang yang dinyatakan Allah dalam ayat di atas, matanya terbuka luas tetapi hatinya gelap gelita. Apa pun dia tak nampak. Maksud saya, dia tak nampak kebenaran, tak nampak peringatan dan tak nampak kebesaran Tuhan.
Kenapa hati jadi buta? Apakah disebabkan matanya buta??
Ohh, tidak.
Matanya kasarnya dapat melihat dan dapat memandang macam juga mata orang lain juga. Namun mata itu hanya memandang kepada dosa dan maksiat. Hanya suka melihat yang keji dan yang hina. Hanya nampak noda dan keaiban manusia.
Pada kebenaran, ketaatan dan kesolehan..., ia langsung tak nampak. Kebenaran itu ada cahayanya namun mereka tidak dapat melihat dan menjangkauinya.
Ya, kenapa hati manusia jadi buta?
Kerana hatinya menolak peringatan dan membelakangkan ajaran Tuhan. Kerana hatinya membenci dan meremehkan seruan dan dakwah Nabi Muhammad SAW.
Golongan ini, sekalipun mata mereka dapat melihat di dunia, namun akan dibangkitkan Allah di akhirat nanti dalam keadaan buta setelah kehidupan mereka di dunia sebelumnya dicengkam keluh kesah dan kesempitan yang berpanjangan.
Firman Allah SWT: "Dan sesiapa yang berpaling ingkar dari ingatan dan petunjukKu, maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit, dan Kami akan himpunkan dia pada hari kiamat dalam keadaan buta." (Surah Toha: 125)
Pemilik Basirah
Nun, ada orang yang buta matanya tetapi hatinya celik dan memiliki Basirah yakni mata hati, firasat ataupun pandangan tembus.
Sahabat Nabi SAW bernama Abdullah bin Ummi Maktum r.a. adalah antara orangnya. Dia sememangnya buta, fikir miskin namun cahaya langit melimpah atas dirinya.
Sekali Ibnu Ummi Maktum r.a. mendatangi Rasulullah SAW dan berkata:
"Wahai Rasulallah, rumah saya jauh (dari masjid), dan saya tiada pemandu (penunjuk jalan) yang akan memandu (menunjuk perjalanan) saya. Adakah bagi saya kelonggaran (untuk tidak bersolat jamaah)?"
Maka baginda SAW pun memberikan Rukhsah (kelonggaran) padanya.
(Seketika) setelah Nabi saw beredar, baginda memanggil Ibnu Ummi Maktum r.a. semula.
"Apakah kamu mendengar Haiyya 'alas solah dan Hayya 'alal Falah?", tanya Nabi SAW kepadanya.
"Ya," jawab beliau.
Sabda Rasulullah SAW: "(Kalau demikian) kamu hendaklah menyahut (panggilan azan & solat berjamaah) itu kerana aku dapati tiada Rukhsah (kelonggaran) untuk kamu." (Riwayat Imam Ahmad di dalam Musnad (3/23), Ibn Majah (4) kitab Al Masajid (16).
Anda tahu apa reaksi sahabat buta yang mulia ini? Ya, selepas pesanan Nabi SAW tadi.
Dia tidak pernah beralasan untuk hadir solat berjamaah di Masjid Rasul SAW.
Biar apa pun situasinya, panaskah, sejukkah, hujankah, gelapkah, biar pun tanpa penunjuk jalan, dia tetap meredah kegelapan pandangannya menuju masjid dengan harapan agar Allah mengurniakan untuknya cahaya yang terang benderang di akhirat, dihari mana terputus, terlindung, terhijab segala bentuk cahaya terhadap orang-orang yang berdosa.
Kita yang celik dan tidak buta ini patut malu pada kesungguhan, kepatuhan dan semangat Ibnu Ummi Maktum. Andai beliau yang buta itu tidak ada kelonggaran untuk tidak hadir solat berjamaah, maka kita yang celik (tidak buta) ini lebih-lebih lagilah dituntut menghadiri dan melaksanakannya. Bukahkah mata kita masih dapat melihat dengan terang jalan ke masjid dan surau, telinga pula dapat mendengar azan dengan jelas, badan pula masih segar bugar. Lalu apa alasan kita untuk beroleh kelonggaran? Allahh, malunya kita.
Alangkah baik dan solehnya beliau. Ramai orang yang masih muda belia, duduk pula bersebelahan masjid (surau) tapi yang sedihnya tak nampak jalan ke masjid. Hati tak terpanggil untuk menjengah dan berjamaah di masjid sekali pun Allah telah dikurniakan kekuatan tubuh badan, usia masih muda, harta yang melimpah, kesihatan, kenderaan yang hebat dan segala-galanya!
Kerana cintanya kepada Allah, Rasul, dan Akhirat serta rindunya kepada syurga dan janji-janji Allah, pengorbanan, perjuangan dan jihad Abdullah ibn Ummi Maktum r.a. lebih dari apa yang kita sangkakan. Buta bukan sebarangan buta!
Sebaik sahaja seruan ke medan jihad dilaungkan beliau berkata: "Pakai (siap) kan diri saya dengan senjata."
kata orang ramai padanya: "Allah telah memberikan kuzuran (kelonggaran) padamu. (Lagi pun) kamu buta."
Jawab beliau: "Demi Allah, aku tidak akan kekal (di sini).
Dan Allah telah pun berfirman: "Pergilah kamu beramai-ramai (untuk berperang pada jalan Allah), sama ada dengan keadaan ringan (dan mudah bergerak) ataupun dengan keadaan berat (disebabkan berbagai-bagai tanggungjawab); dan berjihadlah dengan harta benda dan jiwa kamu pada jalan Allah (untuk membela Islam). Yang demikian amatlah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui."(At Taubah: 41).
Dengan persiapan yang telah dibuat, beliau mara ke medan Qadisiyyah penuh gagah. Posisinya adalah sebagai pemegang bendera! Pembawa panji-panji Qadisiyyah! Di medan Qadisiyyah sana, dia yang buta itu telah gugur sebagai syahid yang mulia di sisi Allah.
Pastinya Ibnu Ummi Maktum r.a. akan berbahagia di syuga sana. Pandangan dan penglihatannya tentu lebih baik dari panglihatan orang yang pernah celik di atas dunia.
Bolehkah Puasa Sunat Selepas 15 Sya’ban?
12 years ago
0 comments:
Post a Comment