INSYA ALLAH! REZEKI KITA DIMARHABAN2U.COM


marhaban2u.com

JANA PENDAPATAN & DOWNLOAD NASYID DI MARHABAN2U.COM


marhaban2u.com

Wednesday, July 16, 2008

Akademi Nasyid : Di mana Identitinya?

Assalamualaikum Warahmatullah.

Sebelumnya, apabila dimaklumkan bahawa satu rancangan realiti baru - Akademi Nasyid - akan diperkenalkan, maka saya berasa teruja dan tidak sabar-sabar untuk menontonnya. Selama itu, saya menunggu dengan sabar dan penuh harapan, kerana barangkali, akademi ini bakal memberikan nafas baru terhadap aktiviti dakwah.

Harapan saya, akademi nasyid ini akan mempunyai identitinya sendiri, sarat dengan mesej dakwah yang mudah difahami oleh masyarakat umum, berlangsung dalam biah solehah (suasana yang baik) serta boleh memberikan impak yang besar ke arah mengubah tafsiran negatif masyarakat terhadap nasyid dan lagu-lagu dakwah.

Mungkinkah era kegemilangan nasyid yang pernah dipelopori oleh nama-nama seperti Nadamurni, The Zikr dan sebagainya, bakal berulang dan memberi kepuasan kepada para pendokong dakwah serta peminat nasyid umumnya - itu adalah antara pertanyaan yang bermain-main di dalam kepala.

Namun, apabila menontonnya di kaca televisyen, ternyata apa yang saya harapkan sebahagian besarnya musnah! Sekali lagi, nasyid menjadi irama layu yang tidak mampu menghasilkan apa-apa impak selain menghiburkan para pendengarnya! Tiada apa yang istimewa, tidak seperti Akademi Al-Quran, yang memberikan penonton banyak ilmu, khasnya berhubung dengan soal tajwid dan seni tilawah.

Hanya sekadar menjadi medium untuk penyanyi menyanyikan lagu mereka dan sedikit ulasan yang umum, oleh para juri, saya sifatkan rancangan ini kosong tanpa sebarang identiti, bahkan tidak salah kalau ianya disamakan sahaja dengan program Akademi Fantasia yang sama sekali tidak membawa manfaat.

Kalau sekadar menyanyi sambil mempamerkan muka, mempertontonkan fesyen dan suara yang lunak, bolehkah ianya disifatkan sebagai aktiviti dakwah? Apatah lagi, apabila ianya berlaku dalam suasana yang kurang berakhlak - bercampur antara lelaki dan wanita, melompat-lompat, terlalu suka dan sebagainya…

Sekurang-kurangnya, ada sesuatu yang boleh dipelajari - bagaimana menghasilkan mesej dakwah, atau, apa yang membezakan lagu dakwah dengan lagu-lagu lain. Seharusnya, Akademi Nasyid ini menampilkan barisan juri yang telah bergelumang dengan perit maung dakwah menerusi nasyid, kita bukannya ketandusan tokoh.

Paling mengecewakan, tiada langsung imej atau identiti nasyid, walhal, irama-irama lain seperti hip-hop, jazz dan sebagainya punya identiti yang digilai oleh para pengikutnya. Apakah nasyid ini terlalu fleksibel sehinggakan pada sesuatu masa, kita sendiri tidak dapat membezakan antara nasyid dengan lagu biasa?

Saya bukanlah seorang yang ortodok, jumud menerima perubahan, tetapi biarlah perubahan yang berlaku itu berlaku pada paksi yang sewajarnya. Sudahlah mesej lagu nasyid masakini, kadang-kadang terlalu melalaikan, kosong, penampilan yang entah apa-apa, penghayatan terhadap lagu tersasar selain dicemari dengan isu dan gosip yang tidak sepatutnya - anda sendiri dapat lihat apa yang saya nyatakan.

Para pendokong dakwah, mereka yang dahagakan pengisian rohani, penggemar lagu-lagu dakwah, senantiasa menanti-nantikan suatu bentuk pengisian (hiburan) yang boleh mengisi jiwa, mendidik rohani, memberikan ketenangan dan keinsafan, bukannya disajikan lagu-lagu lalai yang di’tampal’ dengan kata-kata yang kononnya bermotif dakwah. Sebab itulah menghasilkan lagu atau lirik dakwah ini sukar, melainkan oleh mereka yang terlibat sendiri dalam aktiviti dakwah, diulang, melainkan oleh mereka yang terlibat sendiri dalam aktiviti dakwah, kerana mereka ini lebih mengetahui luas sempitnya dunia dakwah, suka dukanya, batas-batasnya, realiti dan fantasinya.

Entahlah apa yang difikirkan oleh pihak penerbit.

Yang pastinya, saya tidak mungkin lagi menjadi penontonnya.

Wallahu A’lam.

Sumber: Roslan SMS

0 comments:

 
© Copyright by SAHABAT AMAL  |  Template by Blogspot tutorial