INSYA ALLAH! REZEKI KITA DIMARHABAN2U.COM


marhaban2u.com

JANA PENDAPATAN & DOWNLOAD NASYID DI MARHABAN2U.COM


marhaban2u.com

Thursday, August 12, 2010

PUASA ITU PEMBERSIH JIWA


Bagaimana persiapan kita untuk balik (kembali) mengadap Allah di hari akhirat nanti?

Sudah bersediakah kita untuk dijemput pulang mengadap Ilahi di saat dan ketika ini? Sudah sempurnakah persiapan dan persediaan kita?

Renungilah apa kata Allah di dalam kitabNya menjelaskan hal tersebut.

Allah menyatakan bahawa orang yang selamat di akhirat nanti ialah orang yang pulang mengadapNya dengan membawa hati atau jiwanya yang sejahtera.

Firman Allah SWT: “ Hari (Akhirat adalah hari) yang tidak bermanfaat lagi harta mahu pun anak pinak. Kecuali seseorang yang datang kepada Allah dengan membawa hati yang sejahtera” (�surah al-Shu’araa’ ayat : 88-89].

Untuk kembali bertemu Allah di dalam kesejahteraan dan kebahgian, maka, segala kekotoran dosa dan mazmumah yang hitam berkeladak di dalam jiwa hendaklah dibersihkan terlebih dahulu. Allah tak mahu kita balik dalam kondisi dan situasi itu. Sesuatu yang diserahkan (diamanahkan) allah kepada kita dahulunya dalam keadaan bersih (hati), hendaklah dipulangkan dalam keadaan bersih juga.

Maka, urusan Tazkiyyatun Nafs iaitu membersihkan titik-titik hitam (dosa) di dalam jiwa hendaklah dilakukan dengan kadar segera sebelum deringan jam kematian mulai berbunyi.

Kejayaan dan keberuntunganlah untuk orang yang menyucikan jiwanya. Berbahagialah dirinya di syurga sana.Kerugian dan kecelaan pastinya untuk orang yang mengotori jiwanya. Di dalam neraka tersembam hina.

Firman Allah SWT: “Sesungguhnya mendapat kemenangan bagi orang yang menyucikan hatinya dan rugilah orang yang mengotorinya.” (Asy-Syam: 7-10)

Maka, marilah kita menjadi orang yang berjaya di sisi Allah.

Sungguh, seruan supaya menyuci dan membersihkan jiwa yang kotor itu bergema dan berkumandang setiap masa, setiap ketika dan di sepanjang perjalanan kehidupan manusia.

PUASA ITU TAZKIYYATUN NAFS

Lihatlah, perintah puasa hadir di tengah khalayak insani membawa matlamat dan objektif penting dan mulia ini. Hebatnya ibadah puasa. Pensyari'atan ibadah menjadi satu mekanisma canggih dimana Allah SWT mahu ia (puasa) menjadi pembantu kita dalam melaksana dan menyempurnakan perintah Tazkiyatun Nafs yakni pembersihan dan penyucian jiwa.

Bagaimana puasa menjadi Pembersih jiwa?

Bilamana seseorang hamba patuh melaksanakan apa yang diperintah, taat meninggalkan apa yang ditegah serta tekun melatih dirinya untuk beribadah secara yang lebih sempurna dan semuanya dilakukan semata-mata untuk mencari keredhan Allah, maka saat itulah jiwanya sedang 'dibersih'kan Allah.

Kerana kejujuran dan keikhlasan hatinya itulah, maka Allah SWT memilihnya untuk di'Tazkiyyah'kan.

Lalu, dari sudut manakah terpancarnya keikhlasan dan kejujuran orang yang berpuasa?

Perhatikanlah. Tatkala Allah memerintahkannya supaya menahan dirinya daripada melakukan perkara-perkara yang membatalkan puasanya, maka dilakukannya dengan taat dan sempurna walhal perkara-perkara yang membatalkan puasa itu sebelumnya telah pun menjadi kebiasaan diri setiap hari. Perkara-perkara yang ditegah semasa berpuasa itu sememangnya telah pun melekat sebagai rutin dirinya. Namun, tetap ia mematuhinya tanpa banyak bicara, tanpa banyak alasan. Di situlah tampak keikhlasan hati nuraninya.

Apakah amalan dan rutin yang menjadi kebiasaannya sebelum ia mulai berpuasa?
Itulah rutin makan, minum dan berjimak dengan isterinya. Andainya dia mahu melakukannya pun, tiada siapa yang nampak. Tak ada seorang pun yang tahu.

Namun, sekali lagi kita tegaskan bahawa ia meninggalkan semua perkara yang membatalkan puasa itu semata-mata kerana Allah SWT. I-ma-nan Wahtisa-ban. Maka, jiwanya pun diTazkiyyahkan.

Rasulullah SAW bersada: "Demi diriku yang ada di dalam tangan (genggaman)Nya, sesungguhnya bau mulut orang yang berpuasa itu lebih harum di sisi Allah daripada bau minyak kasturi. Dia tidak makan, tidak minum dan tidak berhubungan dengan isterinya keranaKu. Tiap-tiap amal Bani Adam baginya, kecuali puasa. Ia untukKu dan Aku yang akan memberikannya pahala." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim darpada Abu Hurairah r.a.- Al Lu'lu' wal Marjan mukasurat 706).

0 comments:

 
© Copyright by SAHABAT AMAL  |  Template by Blogspot tutorial